dia tiada ibu lain lagi dan hanya Rohani Mahmood, 48, satu-satunya anggota keluarga yang dia ada kerana yatim sejak kecil.


Tanah Merah: Antara mereka tiada pertalian darah, sekadar anak dan ibu angkat, namun pelajar sebuah pusat tahfiz di Pasir Mas, sanggup mengorbankan masa belajarnya kerana demi menjaga wanita itu yang menderita kencing manis kronik.

Demi kasihnya terhadap wanita yang dianggap seperti ibu kandung, Mohd Hazarul Haswad Abdul Rahman, 13, tidak ke sekolah dua bulan, sebaliknya menggalas tanggungjawab mengurus keperluan ibu angkatnya, termasuk memandikan, memakai pakaian sehingga menyuap makanan dan minuman.

Katanya, dia tiada ibu lain lagi dan hanya Rohani Mahmood, 48, satu-satunya anggota keluarga yang dia ada kerana yatim sejak kecil.

Difahamkan, bapa remaja itu meninggal dunia akibat kemalangan ketika dia masih kecil, manakala ibu menemui ajal ketika melahirkannya.

“Saya membesar dengan ummi (Rohani) dan sejak bayi lagi dia memelihara dengan bantuan kakaknya yang menjadi ibu angkat kedua saya. Saya tiada sesiapa di dunia ini melainkan mereka.

“Kami hanya ada satu sama lain kerana ummi pun tiada anak lain, manakala ayah (suami Rohani) meninggal dunia tujuh tahun lalu kerana sakit jantung.

“Jadi, saya bertanggungjawab menjaga dia ketika sakit dan memastikan kebajikannya terpelihara,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, Rohani dimasukkan ke Hospital Tanah Merah (HTM), di sini, 12 Februari lalu dan sejak itu dia ‘berumah’ di sisi katil ibunya.

Walaupun sedar kerugian menangguhkan persekolahan apatah lagi sudah menghampiri proses menghafaz al-Quran, Mohd Hazarul Haswad berkata, dia tidak tenteram membiarkan ibunya keseorangan.

“Kalau saya ke sekolah, siapa yang mahu jaga ummi sedangkan dia hanya terlantar. Ahli keluarga ummi tiada yang berdekatan untuk ganti saya.

“Biarlah saya berkorban, asalkan ummi cepat sembuh. Alhamdulillah, pihak sekolah memahami keadaan saya dan memberi kelonggaran,” katanya yang sudah menguasai Iqra’ tahap lima.

Bercerita mengenai pendidikannya, dia mengakui hanya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Chetok, Pasir Mas sebelum menuntut di pusat tahfiz swasta.

Katanya, Rohani mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala pengajiannya di maahad itu secara percuma dan dia tinggal di asrama.

Menurutnya, besar impiannya untuk terus bersekolah seperti remaja lain tetapi dalam masa sama dia mahu ibunya kembali sihat.

“Saya akan terus bersabar dan berada di sisi ummi,” katanya yang tinggal bersama Rohani di Kampung Galok, Chetok, Pasir Mas.

Kisah kecekalan Mohd Hazarul Haswad menjaga ibunya yang sakit dimuat naik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menjadi viral dua hari lalu.

Sejak itu, katanya, menerima kunjungan pelbagai pihak yang menunjukkan keprihatinan dan berterima kasih kepada mereka yang memberi sumbangan.


0 Response to "dia tiada ibu lain lagi dan hanya Rohani Mahmood, 48, satu-satunya anggota keluarga yang dia ada kerana yatim sejak kecil."

Post a Comment